Tuesday 18 December 2018

UMRAH PERTAMA

Bismillahiramanirahim…
Assalamualaikum…
Alhamdulillah..pada 20 Rabiulawal 1440 hingga 1 Rabiulakhir 1440H kami sekeluarga telah dijemput menjadi tetamuNYA.tujuan saya menulis ni hanyalah untuk berkongsi persediaan dan pengalaman kami di sana.

Ramai yang mempunyai duit yang lebih tetapi tidak mampu menunaikan ibadah ini, mungkin kita tidak bersungguh dalam memasang niat ke sana, tidak bersedia, dan merasakan kita adalah pendosa yang tak layak menjadi tetamunya..nilah perasaan yang saya rasa sebelum ni.Mulai hari ini buangkan semua perasaaan itu tanam niat utk menjadi tetamuNYA, kerana kita semua adalah pendosa, bezanya siapa yang mahu berusaha berubah mendalami ilmuNYA dan bertaubat atau terusan membiarkan diri berada di takat lama..

Persediaan menjadi tetamu Allah

Pemilihan pakej dan agensi umrah
biasanya jika pakej umrah yang menawarkan hotel berdekatan dengan masjidilharam di Mekah dan pada musim cuti sekolah, harganya akan lebih mahal dan hotel di Madinah tiada masalah kerana kebanyakannya berdekatan dengan masjid Nabawi. Jangan bandingkan harga @ tawaran yang dibuat setelah kita memilih pakej dari agensi tertentu kerana ini hanya menimbulkan tidak puas hati, redha dan berlapang dadalah setelah pemilihan dibuat.
Selain daripada kedudukan hotel, jenis kapal terbang juga memainkan peranan, jika mempunyai kewangan yang mencukupi pilihlah kapal terbang yang ruang tempat duduk yang lebih besar dan selesa, kerana perjalanan untuk umrah memakan masa yang panjang iaitu 8 jam lebih.

Pakej saya ambil dari agensi Andalusia, menaiki pesawat MAS, dengan pakej bilik berempat RM8090 seorang. Hotel Makkah Mellinium Tower di Mekah ( Jaraknya 3 minit berjalan kaki ke Masjidil Haram). Hotel Al Eiman Taibah  di Madinah ( Jaraknya 5 minit untuk ke pintu gate 15 Masjid Nabawi)  Pembayaran boleh dibuat secara ansuran.
lmu dan hati
ilmu
Pergi ke kursus umrah yang ditawarkan. Saya memilih agensi Andulusia yang mengadakan kursus umrah setiap minggu bermula dari bulan Julai lagi.Walaupun setiap minggu tetapi ustaz yang memberi ceramah adalah ustaz yang berbeza menyebabkan kita tidak bosan mendengarnya.Ini memerlukan pergorbanan masa, banyakkan membaca dari buku-buku, blog dan menonton di utube.
    
Hati
Ajar hati untuk banyak bersabar dalam setiap perkaranya berlaku. Banyakkan berdoa, solat taubat supaya perjalanan umrah kita dipermudahkan dan dalam redha Allah.

Banyak dugaan saya, terbaru 3 minggu sebelum menunaikan umrah saya terlibat dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa saya sendiri, tapi alhamdulillah hanya kereta yang rosak teruk manakala saya tidak mengalami apa-apa kecederan serius..sedih melihat bag yang telah siap tersusun selepas kemalangan meruntun jiwa.

Menerima Kiriman duit dan doa
Menjadi adat orang Melayu ada yang mengirim duit, tp si pengirim tidak menyatakan duitnya untuk apa, kalau orang tua-tua mungkin rungsing kalau tak dapat beli ole-ole untuk duit yang dikirimkan walaupun si pengirim tidak meminta.Sebaiknya kalau nak beri duit untuk orang yang menunaikan umrah, pesan kepadanya duit ini bukan untuk awak atau untuk ole-ole saya tetapi duit ini untuk disedekahkan di sana.
Kirim doa, kalau boleh sebelum sahabat pergi menunaikan umrah whatapp doanya supaya dia tidak lupa kita ketika di sana. 
Saya tulis kembali nama dan doa yang dikirimkan

 List untuk wanita dan kanak-kanak
Mahram untuk wanita berumur bawah 45 tahun
Salinan sijil Nikah yang di cop di pejabat agama bahagian Nikah dan Cerai
Salinan sijil lahir anak yang dicop oleh Jabatan Pendaftaran Negeri
Gambar pasport
Buku vaksin ( gi klinik biasa pun takpe cakap nak amik vaksin umrah)
* Penting yer untuk wanita, kita tak boleh ke tanah haram tanpa mahram ..Selain berdoa untuk kita dijemput sebagai tetamu Allah lebihkan dulu doa untuk mahram kita dijemput sebagai tetamu Allah yer..Amin..
Tambahan untuk wanita
Doa yang saya amalkan untuk menangguh haid
1. Ayat pertama surah Al Masad( Al lahab)
2. Bacaan dari ayat 38 surah yaasin
3. Bacaan sebahagian dari ayat 44 surah Hud
4. Bacaan sekali surah Al Ikhlas ayat 1-4
5. Bacaan Selawat Nabi
Doa di atas dibaca setiap kali selepas solat fardhu, dan semasa di jangkakan haid akan tiba.

Selain mengamalkan doa di atas, saya sebenarnya telah mengambil ubat untuk menahan period Norethisterone 5mg. Ubat ini adalah ubat hormon progesteron, kalau dekat nak period, hormon progesteron dalam badan kita akan menurun, so dinding uterus kita akan luruh sebagai haid, tapi bila ambil pil ni ia akan mengekalkan dinding rahim kita,dan bila kita stop period akan dtg seperti biasa.pil ni di ambil beberapa hari sebelum jangkaan haid,  3 kali satu hari dan hanya boleh diambil paling lama untuk 2 minggu sahaja.
Sebenarnya saya telah meminta pandangan beberapa orang ustazah tentang mengambil ubat menangguh period ini dan hukumnya harus mengambilnya, kebanyakkan dari mereka tidak membenarkan kerana haid itu dtg dari Allah, ada sbb kalau kita period semasa menunaikan umrah, mungkin kita akan dijemput lagi ke sini jika tidak dapat melakunya untuk kali ini, yer benar tp untuk cikgu sains, dah terang-terangan period saya akan bermula pada tarikh saya akan bertolak ke Mekah, tak salah rasanya untuk kita beriktiar.sesetengah orang walaupun mengambil ubat masih datang haid, masa tu betullah kita kena redha, Allah sebaik baik perancang. Alhamdulillah dalam kes saya, sepanjang dua minggu di sana saya bersih, saya hanya datang haid bila saya sampai di Malaysia. Pil ni hanya boleh diambil untuk org yang tetap periodnya dan diambil sebelum haid
 Dalam kes saya, saya mengambil pil ini untuk seminggu.

Kelengkapan peribadi
Ubat ubatan
Segala jenis ubat saya angkut, saya amik ubat dari klinik yang biasa kami pergi untuk penyakit yang basic seperti deman, sakit perut, selsema
stamina
Umrah ni memerlukan tenaga dan kaki yang kuat, banyak berjalan, saya memang ke gym untuk meningkatkan stamina tetapi sejak kemalangan tempoh hari, menyebabkan tulang belakang saya mengalami sedikit masalah menyebabkan saya berhenti ke gym dan tidak lagi dapat mengangkat benda yang berat


28 NOV 2018 ( Rabu)
Hanya saya dan Hafiy balik ke Penang mengambil mak mertua saya ( akan turut sama menunaikan umrah), dan suami naik flight   dari Johor, kami hanya berjumpa sehari sebelum bertolak. 
28 NOV 2018 besday my mr mahram .. Selamat Hari Lahir yang ke 38 tahun. Besday kali ni kita pergi umrah, semoga panjang umur, murah rezeki sentiasa..

dihantar oleh adik ipar ke airport, terima kasihlah siap sewa van untuk kami. 
kami berkumpul di KLIA pada pukul 8 pagi untuk pengagihan tag dan penerangan daripada mutawif.Penerbangan kami pada pukul 12 tgh hari.kami akan ke Madinah dulu.



Beza masa antara Madinah dan Mekah adalah lewat 5 jam dari Malaysia.

Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar.sekejap je dalam 30 minit kami dah settle imigresen..Tunggu jemaah yang lain.



menaiki bas ke hotel.
sampai di hotel, bermulalah ujian pertama, jumlah bas Andalusia ada 13 buah semuanya dan 3 buah adalah di hotel yang sama. berlaku kesesakan dalam lif hotel, dengan semuanya beg besar-besar.. bersabarlah, semuanya lapar dan penat seperti kita jua, niat hati nak letak barang dan terus ke masjid Nabawi, tapi tak mampu lagi, badan terasa sangat penat, selepas makan makan, solat dan unpack barang saya terus tido, esok awal pg  nak berjemaah di Masjid Nabawi.

29 Nov 2018 ( Khamis)
Azan subuh di Masjid Nabawi ada dua kali, pertama sejam sebelum masuk waktu subuh, sebagai persediaan jemaah untuk bersolat, pukul 4 pagi jemaah sudah ramai, jangan lewat nanti tak dalam solat di dalam Masjid.sangat jauh beza bila di Malaysia.

Sayu hati kali pertama menjejak kaki di masjid .Setiap amalan kebaikan disini  kita digandakan 1000 kali ganda pahalanya.
Apa yang perlu di buat di Masjid Nabawi ni, boleh perbanyakanlah zikir, solat sunat, mengaji.
 Karpet di masjid Nabawi ni baunya wangi sangat, kalau sujud rasa tak nak bangun, nati saya nak cari perfume apa yang diletak di sini, saya nak bau mcm ni gak atas sejadah saya bila pulang ke Malaysia nanti..hihi..
My mahram

Selesai sarapan pagi, hari ni mutawif membawa kami ziarah dalam dahulu.. Masa yang saya tunggu, iaitu memasuki RAUDHAH.Alhamdulillah saya dapat masuk dan solat ketika kali pertama menjejak kaki bersama mutawif. Pada sebelah malamnya saya masuk kali kedua bersama ibu mertua, tetapi kali ni terlalu ramai orang menyebabkan kami tidak dapat bersolat di dalam Raudhah

Apa itu RAUDAH.
Sabda Rasullullah S.A.W
‘ Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman dari taman-taman syurga (itulah Raudah).’ Sekarang ni tapak rumah rasullullah S.A.W itulah makam baginda. Selain makam baginda ,terdapat juga makam para sahabat Rasullulah SAW, iaitu makam  Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Omar Al Khattab R.A.
‘ Sesiapa yang melawat maqamku setelah wafatku maka seakan-akan samalah seperti menziarahi aku saat aku masih hidup’

Di mana Raudhah.
Raudhah merupakan salah satu ruangan yang terdapat di dalam Masjid Nabawi, untuk wanita masuk pada gate 25 dan untuk jemaah lelaki pada gate 1

Untuk wanita hanya ada masa tertentu sahaja untuk memasuki Raudhah iaitu selepas subuh, Asar dan Isyak dan jemaah lelaki sepatutnya sepanjang masa.
Tetapi adalah sebaiknya bertanya pada mutawif masa yang sesuai.
Kawasan Raudhah ini dibezakan oleh warna karpetnya.karpetnya berwarna hijau, manakala kawasan yang lain di dalam masjid Nabawi berwarna merah.
Disebalik dinding itu raudhah, tunggu giliran nak masuk

Karpet hijau raudhah

Mengapa jutaan umat Islam ingin bersolat dan berdoa di Raudhah?
Raudhah ni kawasan yang paling mustajab untuk berdoa.
Menunggu giliran, bawah kubah hijau itu makam rasullulah S.A.W

Apa yang perlu buat untuk masuk ke Raudhah.
1. Sabar. Jangan berebut, tujuan kita memasuki Raudhah bukan untuk masuk sahaja sebaliknya ingin bersolat sunat dan berdoa dengan tenang. InshaAllah kalau niat kita betul Allah akan permudahkan
2. Masa menunggu untuk ke Raudhah boleh jadi sehingga 2@3 jam, masa menunggu itu bolehlah diisi dengan solat sunat, mengaji dan berzikir
3. Memberi salam kepada Rasullulah S.AW dan para sahabat
4. Berdoalah
5. Jika mampu solat sunat
Solat mutlak
Solat hajat
Solat taubat.
6. Setelas selesai semuanya keluarlah dari Raudhah dan beri peluang kepada orang lain pula.

Tips masuk ke Raudhah 
Ni dari pengalaman saya yer, masa yang paling sesuai (kurang orang) sebelah pagi pada 10 pg dan pada sebelah malam selepas pukul 10 malam. Elakkan pada hari Jumaat, ini kerana pada hari Jumaat penduduk Madinah ni bercuti, ramai orang. Pada hari Jumaat hanya dibuka sebelah malam. Elakkan juga selepas solat, kerana ketika itu jugak ramai orang.

Solat berdekatan dengan tiang supaya tidak dihimpit dan dipijak

Jika ramai orang bersabar, biarkan diaorg masuk dahulu, bersabar, InshaAllah akan ada rezeki untuk kita solat 

Jangan angkat tangan untuk berdoa, doa ketika sujud, supaya tidak dihalau oleh polis yang bertugas..

Sepanjang 4 hari di Madinah saya telah ke Raudhah sebanyak 6 kali, tetapi hanya 4 kali berjaya memasuki Raudhah. 2 kali yang tidak berjaya itu adalah pada hari  Jumaat, sebabnya, saya tidak kisah menunggu lama, tapi saya tak tahan dengan orang yang terlalu ramai dan berebut-rebut.sebolehnya saya ingin solat dan berdoa dengan tenang, makanya saya mengalah dan datang semula pada hari seterusnya.

Perkuburan Baqi
Baqi merupakan kawasan perkuburan bagi penduduk Kota Madinah semenjak zaman Rasullulah lagi dan masih digunakan sehingga sekarang. Letaknya di sebelah masjid Nabawi jer. Maqam Ummahatul Muminin iaitu isteri-isteri Rasulullah S.A.W sebanyak 9 orang di kebumikan di sini. Wanita tidak dibenarkan memasuki kawasan ini, kita boleh memberi salam dan tengok dari kejauhan jer yer.

 30 Nov 2018 ( Jumaat )
Disebelah pagi nya Andalusia telah mengadakan majlis tahlil dan bacaan yassin serta ceramah agama.
Kami bersolat di perkarangan masjid

Ramai bersolat jumaat
Solat Jumaat
Buat pertama kalinya saya tak dapat solat di dalam masjid kerana orang telah ramai. Hari Jumaat pintu asjid ditutup ebih awal.kami solat di bawah payung gergasi di perkarangan luar masjid. Sayangnya khutbah Jumaat tak faham semuanya dalam bahasa Arab.

1 DIS 2018 (Sabtu)
Ziarah luar sekitar Kota Madinah
 Masjid Quba
Masjid pertama yang dibina oleh Rasullulah. Masjid ni mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sabda Rasullulah S.A.W
‘ Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan berwudhuk sehinggalah sampai di Masjid Quba dan bersembahyang di dalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah’


Kami singgah dan bersolat sunat di sini.

Ladang Kurma
Melawat ladang kurma, di sini makanlah sebanyak mana pun kurma adalah percuma, tapi kalau nak bawa balik itu kena bayar

Makan sepuasnya

Jabal Uhud
Bukit yang terpanjang di Madinah. Mesti zaman sekolah korang pernah belajar perang Uhudkan, yang mana tentera Islam pada asalnya telah menang dan di sebabkan sifat tamak akhirnya tentera Islam telah kalah.Jabal Uhud ni telah menjadi saksi gugurnya 70 orang para syuhada.



Destinasi seterusnya sepatutnya ke pasar Kurma, tapi di ladang kurma tadi pun dah banyak membeli, ahli jemaah sepakat dah tak nak dan kami nak balik ke hotel sebabnya ada korban unta pada hari ni. Semuanya nak merasa makan daging unta, kalau lambat risau abis katanya.hihi..sebelum balik mutawif bawa kami ke masjid Al Qiblatain dan masjid Tujuh, kami tak turun hanya melihat dari atas bas sambil ustaz menerangkan sejarah masjid-masjid tersebut.
Pada malam hari ni saya nekad untuk ke Raudhah lagi, disebabkan semalam tidak dapat masuk ke Raudhah, semasa makan malam saya bersembang dengan suami, malam ni tolong izinkan saya ke Raudhah lg, walaupun pukul berapa pun kali ni saya akan menunggu, tak perlu tunggu saya, sebab saya sendiri tidak tahu pukul berapa saya akan dapat masuk ke Raudhah, tambahan pula saya tak beli simkad di sana( sengaja tak nak beli risau nati asyik membelek telefon), rupanya perbualan saya didengar dengan makcik di sebelah yang turut makan bersama. Katanya dia jugak nak ke Raudhah tapi takde kawan.. Alhamdulillah kami pun berjanji tunggu di lobi hotel pukul 9.30 malam. Nilah hamba Allah yang dikirimkan untuk menemani saya ke Raudhah pada malam ni.
Orang Johor ni

Sebenarnya nak ke Raudhah sebaiknya berteman, sebabnya orang terlalu ramai, kalau berteman, kawan yang lain dapat menjaga kita ketika bersolat..malam ni ramai tapi saya dapat berdoa dan solat, kami berdua dapat solat bersama-sama tanpa perlu dikawal. asalnya saya cuma ingin solat sunat hajat 2 rakaat saja, tapinya bila kami berada di depan betul-betul bersebelahan maqam rasulullah S.A.W. kami tidak dapat keluar lagi menyebabkan saya dapat bersolat sunat taubat dan mutlak lg... Allah..sebak rasanya.. Malam ni saya pulang dengan hati yang berbungga bungga kerana dapat masuk ke Raudhah. Saya sampai ke bilik hotel hampir 12.30 malam. Di dalam samar cahaya lampu tido, saya mengemas barang-barang utk esk. Bag mesti diturunkan sebelum subuh untuk mengelakkan kesesakan lif.

2 Dis 2018 ( Ahad)
Hari ni hari terakhir saya di Madinah, selepas zohor nati kami akan bergerak ke Mekah untuk menunaikan umrah.. sebenarnya pagi ni jugak saya memasang niat untuk sekali lagi ke Raudhah. Selesai solat subuh, saya bergegas balik ke hotel mengemas sedikit lagi barang di dalam hand luggage.. Pukul 10 pagi nanti saya akan ke Raudhah lg buat kali terakhir jika diizinkan Allah, saya tidak akan memaksa diri, kerana saya memerlukan stamina yang tinggi untuk mengerjakan umrah pula nati. kali ni saya betul seorang diri, kalau tak dapat solat pun tak apalah cukuplah andai saya dapat berdoa di dalam Raudhah buat kali terakhir.
Alhamdulillah mudahnya pada pagi ini, orang tak berapa ramai sehinggakan polis memanggil sesiapa yang  ingin ke Raudhah, pintu telah dibuka. Setelah dibenarkan masuk saya cuba juga mencari ruang untuk solat, tapi tak dapat, tiada orang yang mengawal menyebabkan mungkin saya akan dipijak ketika sujud nanti.mungkin ini sahaja rezeki saya, tapi bila dihalau untuk keluar oleh polis saya telah ditolak ke tepi dan termasuk di dalam kalangan jemaah Indonesia. Ada seorang jemaah Indonesia, muda lagi umurnya dalam belasan tahun, tanpa bicara dia mengawal saya solat.. Allah..sayu hati, selesai solat, saya bersalaman dan mengucapkan terima kasih dengannya, katanya ayuh ibu kita keluar, dan kemudian hilang di dalam lautan manusia.. Sujud syukur kerana dapat memasuki dan bersolat di Raudhah.  Pukul 11.30 pagi selesai ziarah ke Raudhah, Ya Allah jemputlah aku ke sini lagi.
Air zam-zam..di dalam masjid Nabawi
Kadang ada masa saya berseorang, mak mertua saya kadang tak larat untuk mengikut saya, suami dan anak di pintu yang lain, dan dengan sikap saya sendiri yang tak suka menunggu dan lebih suka bergerak sendiri sebab dah terbiasa sendiri..dan mungkin jugak ni didikan daripada suami sendiri, menyebabkan si isteri berani begini..hihi.. jangan risau jika suatu hari nati kalau kita berseorang, bergantung harap hanya pada Allah.tak ada yang mustahil bagi Allah. Tapi sejujurnya, Saya sebenarnya cuak jugak berjalan berseorangan sebab kebanyakan orang berteman, oleh itu saya memakai serba hitam dan memakai niqab ketika di sana.pakai niqab ni buat saya rasa selamat.Niqab ni saya dapat percuma ketika membeli jubah, bukannya satu set dengan jubah pun, cumanya saya asyik bertanya dengan penjual mengenai niqab menyebabkan dia mengatakan ni percuma ambillah. Dia bagi saya 2 jenis niqab, saya cakap 1 cukup, di Malaysia saya tak pakai niqab, dia senyum saja sambil berkata InshaAllah one day…

Selesai solat zohor, selesai ziarah wada.
Gambar terakhir sebelum bertolak ke Makkah

kami bergerak menaiki bas ke miqat Bil Ali, untuk berniat umrah. Ramainya orang semua yang datang dari Madinah akan berniat umrah di sini. Masjid Bil Ali ni dalam 15 minit selepas meninggalkan kota Madinah.Setelah berniat umrah maka bermulalah 13 pantang yang perlu di jaga. Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa hampir 4 jam menaiki bas dan melalui highway
Masam sbb dia ckp tak selesa

Masjid Bir Ali
Menurut Mutawif kami akan berhenti makan di hentian sebelah, cumanya mutawif berpesan kena banyak bersabar sebab rnr ni tak mcm di Malaysia, ini milik orang perseorangan. Terima sahaja apa pun dengan sabar. Kami makan malam dan solat maghrib dan isyak di situ.. memang banyak bas, ada jemaah yang terpisah, ada yang salah naik bas.
Share 4 org
Kami tiba di hotel sekitar 9.30 malam, disebabkan hotel kami dekat dengan masjidilharam , bas tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu, bas hanya menurunkan kami di tepi jalan berhampiran hotel, dan kami berjalan kaki membawa hand luggage sendiri, dan luggage gedabak diuruskan pihak agensi yang dihantar terus ke pintu lobi hotel. Sebelum balik ke bilik kami berkumpul untuk sedikit penerangan yang kami akan melakukan umrah pada malam ni jugak untuk mengelakkan daripada terlanggar pantang umrah jika melewatkan umrah. Semua dibenarkan balik ke bilik masing-masing menyimpan beg masing-masing dan berkumpul semula pada pukul 10.30 malam untuk umrah wajib kami malam ni.
Walaupun ramai, tapi kali ni lif hotel lebih selesa. Biliknya jugak lebih luas.
Hotel kami, bangunan yg senget tu

Pintu masuk kami ke masjidilharam dari hotel

10.30 semua berkumpul, dan kami berjalan bersama mutawif untuk melakukan tawaf.. Allahu Akbar kali pertama melihat kaabah, sayu, tak sangka saya berada di sini, di depan mata kiblat kita selama ni. Allahamdulillah, tawaf 7 pusingan berjalan dengan lancar. Walaupun dah tengah malam masjidilharam ni tidak pernah tak ada orang. Selepas solat sunat tawaf, kami minum air zam zam dan kemudian bergerak untuk saei.

Tip untuk tawaf bagi saya tak perlu untuk melihat buku untuk berdoa kalau kita tidak menghafalnya, memandai dengan berzikir, kerana itu kita lebih kusyuk.. Jangan lupa berdoa disetiap penjuru kaabah.

Saei, berulang alik dari Bukit Safa ke Marwah. Ni btul-btul kena stamina yang kuat. Semasa Saei bolehlah kalau nak tengok buku doa, sebab walaupun ramai tapi masih boleh membuka buku, dan kita akan kurang rasa penat bersaei sambil membaca doa yang panjang dalam buku..tapi kali ni dugaan buat kami suami isteri. Pada pusingan ke 3, Hafiy cakap ustaz kata orang laki kena lari bila sampai bawah lampu hijau tu ibu, dia nak umrah mabrur, dia nak lari boleh tak..ok, saya ckp larilah, Memang sebelum ni pusingan 1 dan 2 dia berhenti di depan dan tunggu kami, tapi untuk kali ni anak itu hilangggg..Allah, dalam jutaan manusia mana nak cari..perasaan tak tau nak ckp, tapi saya masih meneruskan saei saya cuma tidak lagi setenang sebelum ini, sambil saei sambil memerhati, saya pujuk hati, saya akan jumpa dia, saya dah selalu bawa dia travel, dia tahu apa nak buat, jika dia hilang dari saya..tp dari satu sudut lain, tempat ni terlalu asing untuk dia, lautan manusia, kami pun baru pertama kali sampai mana mungkin dia tau jalan balik..huhu..selesai saei saya terus bertahalul, supaya saya bebas dari pantang umrah..selesai saja umrah saya masih belum berjumpa dengan anak, suami jugak hilang, mungkin dia mencari anaknya tadi. Dok pikir apa aku nak buat ni dalam 5 minit mencari saya nampak kelibat suami dan anak, alhamdulillah, nape buat mcm ni, kenapa tak tunggu ibu, dia ckp minta maaf sambil menanggis, dia ikut ustaz(mutawif) sbb dia tak nampak kami..huwaaa..huwaa..anak oh anak.. untuk kepastian kami merujuk kes ni dengan ustaz, sah ke saei kami tadi..Alhamdulillah saei saya ustaz ckp ok, cuma suami diminta mengulangi semula saei dan di kenakan dam..
Lebih kurang pukul 3 pagi baru selesai umrah pertama kami.
Selesai umrah wajib

OK saya sentuh sikit berkaitan dam, dam ni perlu dibayar jika kita melanggar pantang umrah. Dam hanya boleh dibayar di tanah haram..jangan main-main dengan dam , jika ada yang kita tak pasti rujuklah kepada orang yang lebih arif iaitu mutawif kita. Ada banyak kaedah untuk membayar dam ( korang akan tau bila gi kursus). ada orang cakap dam ni denda sebab langgar pantang, jangan begitu dam bukanlah denda tapi anggaplah sebagai ibadah.
Cuma satu je pesan saya, untuk peringatan diri saya sendiri juga, jangan terlalu risau, sama ada umrah kita mabrur ke, diterima ke, hanya Allah saja yang mengetahuinya.sebagai hamba kita buatlah sebaiknya selebihnya serahkan pada Allah, banyaklah berdoa supaya amal ibadat kita ni diterima.

3 Dis 2018 (isnin)
Sarapan pagi

Hari ni rehat tak ada aktiviti bersama mutawif, Buat kali pertamanya saya membuat tawaf sunat selepas Asar.
Suasana semasa kali pertama tawaf sunat saya

Biasanya kalau balik dari umrah, orang akan tanya berapa kali umrah sunat yang kita buat, walhal amalan yang paling afdhal di Tanah Haram  ialah memperbanyakkan tawaf sunat dan bukannya memperbanyakkan umrah sunat.
Bila saya tanya dengan ustaz kenapa sepanjang saya pergi kursus umrah tak ada seorang ustaz pun menekankan ilmu ni.. ustaz tu kata memang betul yang lebih afdhal adalah tawaf sunat, tapi dalam umrah sunat pun ada tawaf, tak salah kalau kita juga perbanyakkan umrah sunat..ustaz tu bacakan satu hadith ;’ antara satu umrah dengan satu umrah menghapuskan dosa’.
Betullah jugak cakap ustaz tu, cumanya pada pendapat saya, bila kita dah buat umrah sunat, kita dah kehilangan banyak tenaga ketika saei, kita dah penat untuk tawaf sunat, walhal kita digalakkan untuk lebihkan tawaf sunat.
Kesimpulannya pandai-pandailah membahagi masa, supaya kita masih mampu memperbanyakkan tawaf sunat disamping melakukan umrah sunat..

Ibnu Abbas R.A mengatakan bahawa Rasullulah SAW bersabda’ sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Baitullah ini, 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang ynag mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah’

Anas bin Malik pula mengatakan Rasullulah S.A.W bersabda 2 jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya nescaya seluruh dosanya akan diampunkan seperti ketika di lahirkan ibunya..( ambil dr FB Shauqi Hasan)
Tawaf itu lah tawaf selepas selesai solat subuh dan tawaf selepas selesai solat Asar..patutlah saya tengok ramai orang tawaf ketika 2 waktu ni.

Beza tawaf sunat dengan tawaf ketika umrah, kalau lelaki mereka tak perlu memakai iqram dan boleh mengucup hajarul aswad

4 Dis 2018 (selasa)
Ziarah sekitar Makkah  dan Umrah ke 2, niat di Jaaronah.
Jabal Al Nur


Melawat
 Jabal Al Nur
Jabal Thur
Arafah
Mina
( nak tau lebih detail korang googlelah yer tempat-tempat ni)
Mutawif membawa kami melawat kawasan-kawasan yang wajib dilawati ketika mengerjakan haji


5 Dis 2018 (Rabu)
Umrah ke 3, berniat di Tanim. Ni keluar dari Makkah semata-mata untuk berniat umrah sahaja. Kami selesai menunaikan umrah kali ke 3 sebelum Zohor.
Masjid Tanaim


6Dis 2018(khamis) ( umrah sunat ke 4)
Ziarah hari ni adalah ziarah tambahan. Bayaran tambahan dikenakan 25 riyal untuk seorang jemaah, ni lawatan ke muzium Makkah. Selepas ziarah jemaah akan di bawa ke masjid Hudaibiyah untuk berniat umrah. Kami tak ikut umrah kali ke 4 ni. Pagi ni kami tawaf sunat bersama-sama, selesai sebelum zohor, tawaf dalam hujan, dah penat tawaf, kami makan kebab, menyebabkan saya masih terasa kenyang. Memandangkan saya tak shopping apa-apa lagi, saya berjanji dengan suami selepas zohor, kita tak yah makan tengahari, kita gi beli barang sikit, sebelum Asar balik.
Jubah ni beli sana, murah-murah, biasa dlm rm60-100, ada yg rm20 sehelai pun
Disebabkan murah, sis malas pikir, tak cukup baju, tak yah basuh, beli je..hihi..sini dobi ada tp kira per helai, so lebih untung beli dari basuhlah...tapi konsep ni sesuai untuk badan model yang tak perlu nk  alter kain jer..🙊

Tips Shoppings
Saya tak berniat pun nak bershopping, bagi saya segala yang ada di Makkah jugak dari China, tapikan tak nak shopping boleh tershopping sebab sepanjang jalan dari hotel ke masjid memang banyak kedai..kalau tanya di mana murah nak shopping saya memang takde jawapan, saya hanya shopping kedai berdekatan hotel saya
Shopping sini, on stop centre, mcm2 hado
7 Dis 2018 (Jumaat)
Hari ni badan dah terasa tak berapa sihat..Deman.. Selepas sarapan saya terus makan ubat deman dan selsema, menyebabkan kepala saya pening dan tidur sepanjang pagi. Asalnya saya berjanji untuk tawaf sunat bersama keluarga pada pukul 9 pagi, tapi disebabkan rasa tak sihat saya tinggal seorang di bilik hotel. Tak boleh jadi ni saya kena paksa diri, esok dah nak balik. Dalam keadaan tak berapa sihat saya keluar untuk solat zohor di masjidilharam. Saya terlupa hari ni adalah hari Jumaat, solat Jumaat, pintu masjidilharam dari pukul 11.30 tadi telah ditutup. Solat di perkarangan luar jugak telah penuh,  dihalau ke sana sini oleh polis, katanya penuh walaupun di perkarangan luar. Kalau nak solat Jumaat jugak boleh solat di kaki lima kedai atau atas jalan raya.Allah sungguh saya tak tahan, ramai lagi yang tidak mendapat tempat, biarlah saya nak balik ke hotel, solat Jumaat wajib untuk lelaki je..dalam fikiran ubat deman dan selsema ni lah yang buatkan aku lesu dan rasa mengantuk.. makanya saya stop makan ubat, selepas Asar saya nekad untuk ke masjidilharam lagi, saya tawaf sunat selepas Asar dan tunggu sehingga selesai Isyak seperti biasa.

Bergambar kenangan


Sepanjang 6 hari di Mekah, tak terasa masa, siang malam tak terasa. Walaupun hotel dekat saya hanya balik selepas subuh untuk sarapan pagi, dan selepas zohor untuk makan tengahari. saya tak balik bermula selepas Asar hingga ke Isyak. Selepas Asar saya akan buat tawaf sunat, saya tawaf lambat sebab saya tawaf seorang diri, saya tak suka bersesak maka saya akan tawaf pada lingkaran yang paling jauh dari kaabah. Biasanya Selesai tawaf ada lagi 30 minit sebelum maghrib. Masa ni orang nak kurang sikit, dapatlah saya bersolat sunat tawaf di depan kaabah pada bahagian multazam.. tempat ni doanya mustajab.
Kalau tak balik boleh  solat di sini

selesai solat, saya akan bergerak ke bahagian belakang sedikit supaya tidak di halau polis, saya akan tunggu sehingga  maghrib supaya saya dapat solat btul-btul di depan kaabah tanpa sebarang halangan. Bila kita berada di belakang polis biasanya tidak akan menghalau kita cuma saya rasa kurang selesa untuk tunggu sehingga isyak, saya rasa tak patut untuk saya mementingkan diri sendiri, semata-mata nak solat di bahagian multazam, selesai maghrib biasanya saya akan kebelakang untuk bagi peluang kepada jemaah lain yang melakukan tawaf untuk solat sunat tawaf disitu.. Moga esok jugak ada peluang untuk saya solat di sini lagi..
Selepas Isyak saya akan pulang ke hotel untuk makan malam.begitulah berterusan. Waktu makan kena balik dan makan, kalau tak kita takde tenaga

8 Dis 2018 (Sabtu)
Hari ni hari terakhir, tawaf wada selepas subuh, pukul 8 nanti kami diminta  berkumpul di lobi untuk ke lapangan terbang.Di sini timbul rasa tidak puas hati sebab penerbangan kami ke Malaysia adalah pada pukul 5 petang. Terlalu awal rasanya, tak puas rasanya berada di masjidilHaram.. segala amal kita id sini digandakan 100000 kali ganda, tp bkn pahala je kalau dosa pun ganda.Disebabkan rasa tak puas hati tu saya memasang niat, nak datang ke sini lagi tapi saya dah tak nak terikat dengan travel agen. Saya nak buat umrah DIY sendiri. Tak susah mana rasanya, Setelah kali pertama datang ke sini, rupanya tak susah mana pun umrah ni..InshaAllah. Doakan saya yer untuk umrah DIY nati, yang susah mungkin visa, terpaksa guna agen gak rasanya, sebabnya kita tak boleh apply visa sendiri, tiket kapal terbang, hotel dan pengangkutan di sana InsyaAllah saya mampu buat…

9 DIS 2018 (AHAD)
Dah sampai Malaysia…Alhamdulillah, lengkap sekali dengan pakej deman + selsema + batuk..Disebabkan saya paksa diri, walaupun tahu tak sihat, natijahnya seminggu sakit, hilang selera makan, bila check darah, doktor kata ada jangkitan dan dia bagi saya antibiotik selama seminggu..sakit penghapus dosa..
Terima kasih mr mahram kerana burnkan tiket flight balik ke Johor sebab bini dah tak sihat. Semoga murah rezeki dan dapat bawa kami ke sana lagi.. sebelum terlupa Negara Arab telah mengenakan  bayaran sebanyak 2000 riyal untuk visa bg mereka yang datang ke Mekah dan Madinah dalam tahun hijrah yang sama..
Sebenarnya banyak lagi yang saya nak share, tapi kalau dah banyak lebih baik sis tulis dalam buku je..hihi
Sekian sahaja untuk post kali ni, moga menjadi pemangkit semangat untuk bakal tetamu Allah yang lain.


   

No comments: